Saturday 18 February 2012

SOALAN DAN PERBINCANGAN

SOALAN OBJEKTIF

1. Ada berapakah jenis-jenis puasa ?

  •  a) 5 jenis
  • b) 4 jenis
  • c) 3 jenis
2. Pengertian puasa pada bahasa ialah..
  • a) Menolak diri
  • b) Menahan diri
  • c) Memakan diri
3. Apakah hukum sekiranya seseorang menerima suntikan di bulan Ramadhan?
  • a) Haram
  • b) Makruh
  • c)Harus
SOALAN PERBINCANGAN

1. Bincangkan secara berkumpulan setiap tajuk-tajuk berikut :
  • i) Tujuan dan matlamat puasa
  • ii) Perkara yang membatalkan puasa

Wednesday 15 February 2012

HIKMAH KETIKA MENJALANI IBADAH PUASA

HIKMAH MENJALANI PUASA

"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)
PUASA menurut syariat ialah menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sampai terbenamnya matahari,dengan disertai niat ibadah kepada Allah,karana mengharapkan redha-Nya dan menyiapkan diri guna meningkatkan Taqwa kepada-Nya.
RAMAHDAN bulan yang banyak mengandung Hikmah didalamnya.Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Bukan sahaja telah diarahkan menunaikan Ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda,malah dibulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim,yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia dan untuk membezakan yang benar dengan yang salah.
 
Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terhindar dari sifat tamak dan rakus, percaya pada diri sendiri, dsb.
 
Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari,karana mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya diketika masa berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.
Ayat puasa itu dimulai dengan firman Allah:"Wahai orang-orang yang beriman" dan disudahi dengan:" Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa."Jadi jelaslah bagi kita puasa Ramadhan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.Untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kita diberi kesempatan selama sebulan Ramadhan,melatih diri kita,menahan hawa nafsu kita dari makan dan minum,mencampuri isteri,menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia,seperti berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, merasa dengki dan khianat, memecah belah persatuan ummat, dan berbagai perbuatan jahat lainnya.Rasullah s.a.w.bersabda:
"Bukanlah puasa itu hanya sekedar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor."
(H.R.Ibnu Khuzaimah)
 
Beruntunglah mereka yang dapat berpuasa selama bulan Ramadhan, karena puasa itu bukan sahaja dapat membersihkan Rohani manusia juga akan membersihkan Jasmani manusia itu sendiri, puasa sebagai alat penyembuh yang baik. Semua alat pada tubuh kita sentiasa digunakan, boleh dikatakan alat-alat itu tidak berehat selama 24 jam. Alhamdulillah dengan berpuasa kita dapat merehatkan alat pencernaan kita lebih kurang selama 12 jam setiap harinya. Oleh karena itu dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita dapat bekerja dengan lebih teratur dan berkesan.
Perlu diingat ibadah puasa Ramadhan akan membawa faaedah bagi kesihatan
rohani dan jasmani kita bila ditunaikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, jika tidak maka hasilnya tidaklah seberapa malah mungkin ibadah puasa kita sia-sia sahaja.
Allah berfirman yang maksudnya:
"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)
Nabi s.a.w.juga bersabda:
"Kita ini adalah kaum yang makan bila lapar, dan makan tidak kenyang."
Tubuh kita memerlukan makanan yang bergizi mengikut keperluan tubuh kita. Jika kita makan berlebih-lebihan sudah tentu ia akan membawa mudarat kepada kesihatan kita. Boleh menyebabkan badan menjadi gemuk, dengan mengakibatkan kepada sakit jantung, darah tinggi, penyakit kencing manis, dan berbagai penyakit lainnya. Oleh itu makanlah secara sederhana, terutama sekali ketika berbuka, mudah-mudahan Puasa dibulan Ramadhan akan membawa kesihatan bagi rohani dan jasmani kita. Insya Allah kita akan bertemu kembali.
Allah berfirman yang maksudnya: "Pada bulan Ramadhan diturunkan al-Quran
pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran
itu, dan yang memisahkan antara kebenaran dan kebathilan. Barangsiapa menyaksikan (bulan) Ramadhan, hendaklah ia mengerjakan puasa.
(s.al-Baqarah:185)

PERKARA-PERKARA SUNAT DAN MAKRUH KETIKA BERPUASA

PERKARA- PERKARA SUNAT

Antara perkara yang sunat dilakukan ketika berpuasa adalah:

1. Menyegerakan berbuka puasa apabila sampai waktunya.

2. Berbuka puasa dengan buah kurma (tamar) atau sesuatu yang manis ataupun dengan air.

3. Mulakan berbuka puasa dengan berdoa yang maksudnya;

"Ya Allah, kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka, dengan rahmat-Mu wahai yang Maha Pemberi Rahmat".


4. Melambatkan bersahur. Bersahurlah walaupun dengan sedikit sama ada makan ataupun sekadar minum sahaja. Ianya untuk kebaikan anda juga supaya dapat menambah kekuatan ketika berpuasa.

5. Memperbanyakkan amal ibadat seperti membaca Al-Quran dan berselawat ke atas Nabi S.A.W.

6. Memperbanyakkan membuat amal kebajikan.
Contohnya; bersedekah kepada yang kurang berkemampuan, menjamu tetamu berbuka puasa ataupun bertukar-tukar juadah sesama jiran.

7. Memperbanyakkan niat iktikaf di dalam masjid. Kalau sembahyang terawih tu jangan lupa niat iktikaf.

8. Menjauhkan diri atau sebaik-baiknya cuba elakkan diri daripada bercakap tentang perkara yang sia-sia dan melakukan maksiat! 

PERKARA-PERKARA MAKRUH 

PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH 
KETIKA BERPUASA 

Perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa adalah seperti berikut :
1. Menggosok gigi selepas gelincir matahari .
2. Merasa makanan - kerana takut sampai ke dalam rongga.
3. Memamah sesuatu - kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.
4. Mencium atau mengucup isteri.
5.
Banyak berkumur-kumur .
6. Mengelurkan darah seperti berbekam dan lainnya. 

Monday 13 February 2012

HUKUM, KELEBIHAN DAN FADHILAT BERPUASA

HUKUM PUASA

Puasa Wajib

  1. Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Syariat puasa Ramadhan difardhukan kepada umat Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.
  2. Puasa Kifarah.
  3. Puasa qadha
  4. Puasa Nazar.

Puasa Sunat

Hari-hari berikut disunatkan berpuasa bagi umat Islam:
  1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
  2. Puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah, namun menurut Ahli Sunah Waljamaah (Sunni), berpuasa pada 9 Zulhijjah adalah haram bagi orang yang menunaikan ibadah Haji. Berpuasa pada 9 Zulhijjah juga adalah dilarang dalam Mazhab Syiah.
  3. Puasa pada Hari Asyura pada 10 Muharam
  4. Puasa pada Hari Isnin dan Khamis
  5. Puasa pada 13, 14, 15 haribulan pada setiap bulan Islam Hijrah. Pada tarikh-tarikh tersebut bulan akan berada dalam keadaan amat jelas kelihatan serta purnama penuh. Juga dikenali sebagai Puasa Hari Putih.

 Puasa Haram

  1. Puasa pada Hari Syak pada hari 30 Syaaban
  2. Puasa pada Hari Raya Aidil Fitri pada 1 Syawal
  3. Puasa pada Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah
  4. Puasa pada Hari Tashriq pada 11, 12, 13 Zulhijjah
  5. Puasa perempuan haid & Nifas
  6. Puasa pada Hari Arafah yakni pada 9 Zulhijjah, larangan berpuasa menurut Mazhab Syiah, tetapi berpuasa pada hari tersebut adalah sunat bagi Muslim yang mengikuti Mazhab Ahli Sunah Waljamaah, namun menurut pandangan Ahli Sunah Waljamaah juga, haram berpuasa pada hari tersebut bagi orang yang menunaikan Haji di Arafah.
  7. Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
  8. Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa
  9. Puasa untuk orang lain dan yang ghaib serta tidak diniatkan kepada Allah SWT
KELEBIHAN BERPUASA

Sesungguhnya telah termaktub di dalam Al-Quran dan Sunnah tentang kelebihan berpuasa secara umumnya, antaranya:

* Puasa mendekatkan diri dengan Allah:
Allah berfirman :
Maksudnya: “Lelaki-lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” [Al-Ahzab: 35]

* Puasa mengawal syahawat:
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Wahai pemuda-pemuda! Barang sesiapa antara kamu berkemampuan, maka berkahwinlah, kerana pernikahan itu menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan, dan barang sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah perisai (memutuskan syahawat)” [HR Al-Bukhari: 5065, Muslim: 1400]

* Puasa menyelamatkan seseorang dari neraka:
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, kecuali Allah akan menjauhkan dia (kerana puasanya) dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” [HR Al-Bukhari: 2840, Muslim: 1153]

Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Puasa adalah perisai, di mana seorang hamba itu berperisai dengannya dari api neraka” [HR Ahmad: 15299, Lihat Shahih Attarghib: 970]

* Puasa menjanjikan syurga:
Dari Abi Umamah, beliau berkata:
Maksudnya : Wahai Rasulullah! Tunjukkan kepadaku, amalan yang boleh membawaku kepada syurga, Nabi SAW bersabda: “Ke atasmu puasa, tidak ada amalan yang sama dengannya” [HR Annasa'i: 2220, Lihat Shahih Sunan Annasa'i: 2097]
FADHILAT BERPUASA  
1. Pengampunan Dosa Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu dari Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang erti nya): “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/99), Muslim (759))

Maksud “Penuh iman dan Ihtisab” di sini adalah membenarkan wajibnya puasa, mengharapkan pahalanya, hatinya senang dalam mengamalkan, tidak membencinya, dan tidak merasa berat dalam mengamalkannya.

Dari Abi Hurairah radhiallahu 'anhu juga Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam pernah bersabda (yang ertinya):

“Solat yang lima waktu, Juma'at ke Juma'at, Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa yang terjadi di antara senggang waktu tersebut jika menjauhi dosa besar”. (Hadis Riwayat Muslim (233))

Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu juga, bahawa Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa salam pernah naik mimbar kemudian berkata: “Amin, Amin, Amin”, ditanyakan kepadanya:”Ya Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam: Engkau naik mimbar kemudian mengucapkan: Amin, Amin, Amin? Beliau bersabda:

“Sesungguhnya Jibril ‘alaihissalam datang kepadaku, dia berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan akan Allah jauhkan dia, katakan: “Amin”, maka akupun mengucapkan : Amin……”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah (3/192), Ahmad (2/246 dan 254) dan al-Baihaqi (4/204) dari jalan Abu Hurairah. Hadis ini sahih, asalnya terdapat dalam “Sahih Muslim” (4/1978))

2. Dikabulkannya do'a dan pembebasan dari api neraka

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo'a akan dikabulkan do'anya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar (3142), Ahmad (2/254) dari jalan A'mas, dari Abu Shalih dari Jabir, diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1643) darinya dengan ringkas dari jalan lain, hadits sahih. Do'a yang dikabulkan itu adalah ketika berbuka - lihat “Misbahuh Azzujajah” (no. 604) karya al-Bushiri)

3. Orang yang berpuasa termasuk shidiqin dan syuhada

Dari Amr bin Murrah al-Juhani Radhiallahu 'anhu berkata: Datang seorang lelaki kepada Nabi Shalallahu 'alaihi wasalam kemudian berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak untuk diibadahi kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah Shalallahualaihi wasalam, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku melaksanakan puasa Ramadhan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk orang yang manakah aku? Beliau menjawab: “Termasuk dari shidiqin dan syuhada”. (Hadis Riwayat Ibnu Hibban (no. 11 di dalam Zawaidnya) sanadnya sahih)

Thursday 9 February 2012

ADAB-ADAB BERPUASA



ADAB ADAB BERPUASA BAGI MENDAPAT
KEREDHAAN ALLAH SWT

Selain dari amalan ibadat wajib dan sunat yang diperbanyakkan di dalam bulan Ramadan, kita perlu menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia.

Pertama, hendaklah mengelak pandangan ke tempat-tempat yang dilarang, setengahnya pergi lebih jauh iaitu melarang melihat walaupun isteri sendiri dengan pandangan bernafsu, apatah lagi wanita-wanita lain. Begitulah juga melihat perbuatan-perbuatan maksiat atau jika maksiat itu dilakukan, hendaklah dijauhi daripadanya.

Rasulullah (saw) bersabda: "Pandangan adalah seumpama anak panah daripada syaitan. Barangsiapa takut kepada Allah, jauhilah dirinya daripada melihat kepada maksiat. Maka Allah mengurnia-kannya dengan suatu (cahaya iman) yang kemanisan dan keghairahannya akan terasa di hati.”

Kedua, jagalah lidah daripada berdusta, perbualan yang sia-sia, mengumpat, hujjah-menghujjah, bersumpah-sumpah dan sebagainya. Pada zaman Rasulullah (saw), dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke pengetahuan Nabi (saw), lantas baginda mengirimkan sebuah mangkuk dan menyuruh mereka muntah ke dalamnya. Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka ke dalam mangkuk, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan darah. Para sahabat terperanjat besar, lalu sabda Rasulullah (saw): "Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mereka mengumpat semasa sedang berpuasa, maka keadaan puasa mereka menjadi semakin payah. " Oleh sebab itulah kedua-dua wanita itu hampir-hampir menemui maut.

Salah seorang sahabat Nabi (saw) bertanya: "Apakah itu mengumpat?" Rasulullah (saw) menjawab: "Menyebut sesuatu mengenai saudaramu di belakangnya yang dia tidak suka." Selanjutnya Sahabi itu bertanya: "Dan masihkah dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar terdapat padanya?" Rasulullah (saw) menjawab: "Dalam hal demikian (iaitu jika yang disebutkan itu memang benar) maka sebenarnya itulah mengumpat; tetapi jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah memfitnahnya."

Ketiga, hendaklah kita berjaga-jaga daripada mendengar sesuatu yang makruh. Samalah juga haram mendengar kepada sesuatu yang tidak sepatutnya disebutkan. Rasulullah (saw) telah bersabda: "Mengenai mengumpat, kedua-dua pengumpat dan orang yang mendengar keadaannya adalah sama berkongsi dosa."

Keempat, lain-lain anggota jasad hendaklah dijauhi daripada dosa dan perkara-perkara yang haram. Tangan jangan menyentuhinya dan kaki janganlah berjalan ke arahnya. Mengenai perut, hendaklah berhati-hati agar ketika mengambil makanan, khasnya semasa berbuka (iftar), tidak ada yang memasukinya daripada sesuatu yang diragu-ragukan sama ada halal atau tidaknya. Seumpama orang yang berpuasa yang kemudian semasa berbuka, memakan benda yang haram adalah seperti orang yang sakit memakan ubat tetapi mencampurkannya juga dengan sedikit racun yang akan membinasakannya.

Kelima, tidaklah digalakkan memakan sekenyang-kenyangnya semasa iftar walaupun makanan itu halal kerana maksud daripada puasa kita tidak akan tercapai. Tujuan puasa adalah untuk mengekang nafsu syahwat kita dan meninggikan keyakinan serta memperkuatkan rohaniyah kita. Selama sebelas bulan kita makan dan minum dengan sebebas-bebasnya, maka pada bulan Ramadan, patutlah kita mencerut sedikit perut kita. Selalunya, kita menjadikan tabiat buruk dengan memenuhkan perut kita sepenuh-penuhnya semasa iftar dan sekali lagi menyumbatnya tatkala bersahur sebagai persiapan menghadapi siang harinya. Maka sebenarnya kita menambahkan purata makanan kita. Dalam Ramadan, jenis makanan yang kita makan, tidak pernah dimakan pada masa-masa lain. Pemakanan yang begitu sebenarnya bertentangan sama sekali dengan semangat Ramadhan dan berpuasa. "Syaitan mengalir ke dalam jasad kita seperti darah, maka tutuplah jalannya dengan berlapar."

Begitulah juga, perasaan akan dapat dipupuk terhadap si miskin dan orang yang lapar. Nabi saw kita sendiri bersabda: "Tidak ada yang lebih dibenci oleh Allah (swt) selain sesuatu yang diisi penuh iaitu daripada memenuhi perut dengan makanan." Pada ketika yang lain, Rasulullah saw bersabda: "Memadailah beberapa suap makanan yang dapat meluruskan belakang, satu pertiga dengan minuman, sedang satu pertiga lagi dibiarkan kosong."

Keenam ialah, selepas menjalani puasa, hendaklah selalu berasa bimbang sama ada puasanya diterima Allah ataupun tidak. Beginilah hendaknya dilakukan kepada semua bentuk ibadah. Seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa bahagian-bahagian yang penting tertinggal. Hendaklah berasa takut-takut mungkin amalan-amalan kita akan ditolak oleh Allah. Peristiwa-peristiwa begini banyak diriwayatkan dalam hadis. Maka seseorang yang berpuasa bukanlah setakat berpuasa dengan ikhlas tetapi hendaklah dengan pengharapan agar puasanya diterima oleh Allah (swt).

Enam perkara yang disebutkan di atas adalah wajib bagi orang-orang yang benar-benar bertaqwa. Kepada yang lebih bertaqwa lagi, perkara yang ketujuh ditambah lagi kepadanya. laitu, semasa menjalani puasanya, janganlah dia bimbang apa yang hendak dimakan sewaktu berbuka. Sebahagian Syeikh-syeikh sampai menganggapnya sebagai batal apabila memikirkan mengenai makanan untuk berbuka ataupun seseorang itu berusaha untuk memperolehi sesuatu, kerana perlakuan yang demikian menggambarkan kelemahan keyakinannya terhadap janji Allah yang mengambil tanggungjawab untuk memberi rezeki.

    Wednesday 8 February 2012

    PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

    PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
    Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara di bawah ini :
    1. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
    2. Memasukkan sesuatu ke dalam dubur(jalan belakang) atau qubul(jalan depan) dengan sengaja .
    3. Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa) .
    4. Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak keluar mani.
    5.
    Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk-cium
    dan sebagainya.
    6. Kedatangan haid atau nifas.
    7. Gila walaupun hanya sekejap masa.
    8. Mabuk atau pengsan sepanjang-panjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
    9. Bersalin.
    10. Berbuka puasa sebelum yakin terbenam matahari.
    11. Murtad - iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan
    atau perbuatan.





    INFO :-
    • DOA BERBUKA PUASA

    Rasulullah saw. bersabda, "Sanggupkah kalian mengerjakan seribu kebajikan setiap hari ?" Maka bertanya salah seorang, "Bagaimana caranya kami mengerjakan seribu kebajikan setiap hari itu ?" Baginda menjawab, "Bacalah tasbih (menyebut Subhanallah) seratus kali, nescaya Allah Taala mencatat bagi kamu seribu kebajikan atau dihapus daripadanya seribu kesalahan." (HR. Muslim)





    Doa buka puasa

    1.
    allahumma laka sumtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

    Maksudnya, "Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang."

    Dari Mu’adz bin Zuhrah, bahwasannya telah sampai kepadanya, sesungguhnya Nabi saw apabila berbuka puasa baginda mengucapkan, "Allaahumma Laka Shumtu wa ‘alaa Rizqika Afthartu”.
    (Hadis riwayat Abu Daud #2358, Al-Albani mengatakan hadis ini Daif di dalam Daif Abi Daud).


    2. Ibn Umar berkata, Nabi saw. ketika telah berbuka puasa mengucapkan, "Zahabaz zama'u wab tal latil 'u ruu qu wa sa batal ajru InsyaAllah."
    Maksudya, "Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat dan telah tetap pahala, insya Allah." (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud #2357, Al-Daaraquthni #25, Ibn Hajar dalam al-Talhis al-Habiir (2/202)] Al-Daaraquthni mengatakan bahawa hadis ini hasan)

    *
    Kedua-dua doa boleh diamalkan.

    JENIS-JENIS PUASA

    TERDAPAT BEBERAPA JENIS PUASA IAITU SEPERTI :-

    1. PUASA FARDU PADA BULAN RAMADHAN
    • IAITU PUASA YANG DIFARDUKAN PADA SETIAP BULAN RAMADHAN KE ATAS SEMUA UMAT ISLAM.
    2. PUASA SUNAT
    • IAITU PUASA BAGI MENAMBAHKAN AMALAN SOLLEH DENGAN TUJUAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SEPERTI PUASA SUNAT SYAWAL, PUASA BULAN REJAB DAN LAIN-LAIN.
    3. PUASA QADA'
    • IAITU PUASA YANG WAJIB DITUNAIKAN KERANA MENGGANTIKAN PUASA YANG TELAH DITINGGALKAN PADA BULAN RAMADHAN.
    4. PUASA NAZAR
    • IAITU PUASA YANG WAJIB DITUNAIKAN APABILA TELAH BERNIAT HENDAK MELAKUKAN DENGAN SEBAB MENCAPAI SESUATU CITA-CITA YANG DIHARUSKAN OLEH SYARA' SEPERTI :-
                i) BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN
               ii) TERCAPAI CITA-CITA YANG DIHAJATI SEPERTI BERJAYA MENDAPAT
                   PEKERJAAN YANG DIINGINKAN.

    5. PUASA KAFARAH
    • IAITU PUASA YANG WAJIB DITUNAIKAN SEKIRANYA SESEORANG ITU TELAH MELAKUKAN PERKARA-PERKARA BERIKUT :-
             i) BERSETUBUH DI SIANG HARI PADA BULAN RAMADHAN DALAM KEADAAN IA
                MASIH BERPUASA.
            ii) MELANGGAR PERINTAH IHRAM DENGAM MELAKUKAN SESUATU YANG HARAM
               DILAKUKAN SEMASA IHRAM.

    Tuesday 7 February 2012

    SYARAT WAJIB DAN SYARAT SAH PUASA

    SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA :-
    1. ISLAM.
    2. BERAKAL DAN BALIGH.
    3. SUCI DARIPADA HAID DAN NIFAS.
    4. MASUK WAKTU ATAU MENGETAHUI SEBAB-SEBAB.
    5. SIHAT DAN MAMPU MELAKUKAN IBADAH PUASA.
    INFO :-
    • ORANG YANG TERLALU TUA DAN TIDAK MAMPU MELAKUKAN IBADAH PUASA HENDAKLAH MEMBAYAR FIDYAH DENGAN MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG-ORANG MISKIN.
    • ORANG YANG BERMUSAFIR DIBENARKAN UNTUK BERBUKA TETAPI DIWAJIBKAN UNTUK MENGQADA'KAN PUASA PADA HARI YANG LAIN.

    SYARAT SAH PUASA :-
    1. ISLAM
    2. BERAKAL ( MUMAIZ )
    3. SUCI DARIPADA HAID DAN NIFAS.
    4. BERNIAT
    5. IMSAK ( MENAHAN DIRI DARIPADA PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA )
    6. MASUK WAKTU SEBAB MEWAJIBKAN PUASA.

    RUKUN PUASA

    1. NIAT
    • MENURUT MAZHAB SYAFIE, NIAT PUASA WAJIB DILAKUKAN PADA SETIAP MALAM.
    • WALAUBAGAIMANA PUN, ULAMA' TELAH MENGHARUSKAN BERNIAT BAGI SEBULAN RAMADHAN DENGAN BERTAQLID KEPADA MAZHAB MALIKI. JIKA TERLUPA BERNIAT PADA MANA-MANA MALAM RAMADHAN, MAKA NIAT MENGIKUT MAZHAB MALIKI BOLEH DIPAKAI.
    • NIAT KAEDAH MAZHAB MALIKI INI HENDAKLAH DILAKUKAN PADA MALAM PUASA PERTAMA SAHAJA. WALAUBAGAIMANA PUN, NIAT BAGI SETIAP MALAM HENDAKLAH DILAKUKAN JUGA.

    • LAFAZ NIAT PUASA SETIAP HARI
    Lafaz setiap malam. Niat ringkas:



    نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

    Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

    Lafaz lengkap:

    نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

    Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
    • Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.


    • LAFAZ NIAT PUASA SEBULAN
    Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

    Lafaznya:

    نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

    Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
    • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
    • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:
    “Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.
    2.IMSAK
    • MENAHAN DIRI DARIPADA MAKAN, MINUM DAN PERKARA YANG                             MEMBATALKAN PUASA BERMULA DARIPADA TERBIT FAJAR SODIQ (صادق) HINGGA TERBENAM MATAHARI.

    DALIL WAJIB BERPUASA DAN CARA MENENTUKAN AWAL BULAN RAMADHAN

    FIRMAN ALLAH TAALA DALAM SURAH AL BAQARAH AYAT 185 :-
    • ERTINYA...SESIAPA YANG TELAH MELIHAT BULAN ANTARA KAMU, HENDAKLAH IA BERPUASA...
    SABDA RASULULLAH S.A.W :-
    • RIWAYAT ABU DAUD..ERTINYA : DARIPADA IBN UMAR TELAH BERKATA : ORANG RAMAI TELAH MENCUBA MELIHAT-LIHAT ANAK BULAN, LALU AKU KHABARKAN KEPADA RASULULLAH S.A.W HAHAWA AKU TELAH MELIHATNYA LALU BAGINDA TERUS BERPUASA DAN MENYURUH MANUSIA MULAI BERPUASA.
    CARA MENENTUKAN AWAL BULAN RAMADHAN

    PENETAPAN BULAN RAMADHAN ADALAH BERPANDUKAN PERKARA BERIKUT :
    1.RU'YAH (رؤيةالهلال )
    • IAITU MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN PADA 29 SAABAN WAKTU TERBENAMNYA MATAHARI. IANYA BOLEH DITETAPKAN APABILA SEORANG SAKSI YANG ADIL MENYATAKAN KESAKSIANNYA DIHADAPAN QADI ATAU HAKIM BAHAWA DIA TELAH MELIHAT ANAK BULAN. PADA MASA SEKARANG TEROPONG CANGGIH DIGUNAKAN UNTUK MELAKUKANNYA.
    2. FALAK
    • IAITU PERKIRAAN BULAN MENGIKUT HISAB YANG DILAKUKAN OLEH AHLI ASTRONOMI YANG DAPAT MENENTUKAN PERJALANAN BINTANG DAN ULAN.
    3.DENGAN CARA HISAB ( KIRAAN )
    • IAITU MENCUKUPKAN 30 HARI BULAN SAABAN. INI BERLAKU APABILA SUSAH HENDAK MELIHAT ANAK BULAN DISEBABKAN AWAN TEBAL ATAU SEBAGAINYA.

    INFO :-
    • SABDA RASULULLAH S.A.W :
           " HENDAKLAH KAMU BERPUASA KERANA MELIHATNYA ( ANAK BULAN ) DAN BERBUKA KERANA MELIHATNYA ( ANAK BULAN ). SEKIRANYA KAMU TERHALANG DARIPADA MELIHATNYA MAKA HENDAKLAH KAMU SEMPURNAKAN BILANGAN SAABAN 30 HARI"
          ( RIWAYAT AL BUHARI DAN MUSLIM )

    Monday 6 February 2012

    TUJUAN DISYARIATKAN BERPUASA

    FIRMAN ALLAH TAALA DALAM SURAH AL- BAQARAH AYAT 183:
    • ERTINYA : WAHAI ORANG YANG BERIMAN, TELAH DIWAJIBKAN KE ATAS KAMU BERPUASA SEBAGAIMANA YANG TELAH DIWAJIBKAN KE ATAS ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU, MUDAH-MUDAHAN KAMU MENJADI ORANG YANG BERTAQWA.

    BERDASARKAN AYAT DI ATAS, TUJUAN DISYARIATKAN BERPUASA IALAH :
    1. MENGIKUTI SYARIAT BERPUASA SEPERTI UMAT TERDAHULU.
    2. MENAMBAH KETAQWAAN KEPADA ALLAH SEBAGAIMANA FIRMANNYA.

    TUJUAN DAN MATLAMAT BERPUASA:
    1. MENJADI WASILAH ( HUBUNGAN ROHANI ) ANTARA SESEORANG HAMBA DENGAN TUHANNYA.
    2. DAPAT MENGENDALIKAN HAWA NAFSU DARI KEINGINAN YANG TIADA TERBATAS DAN MENYALURKANNYA PADA JALAN YANG DIREDHAI ALLAH.
    3. BERPUASA DAPAT MENGINSAFI DIRI SENDIRI BAHAWA KITA ADALAH HAMBA ALLAH YANG LEMAH.
    4. BOLEH MENDIDIK JIWA UNTUK MENTAATI SEGALA SURUHAN ALLAH DAN RASULNYA.
    5. DAPAT MELATIH DIRI BERSIFAT SABAR, TABAH DALAM MENGHADAPI PENDERITAAN, KESUSAHAN DAN SEGALA CUBAAN DARI ALLAH.
    6. MENDATANGKAN PERASAAN KASIH SAYANG DAN TOLONG MENOLONG SESAMA MANUSIA TERUTAMA KEPADA ORANG YANG MEMERLUKAN.
    7. BOLEH MENDATANGKAN KESIHATAN DAN MELATIH DIRI UNTUK HIDUP LEBIH BERDISPLIN.

    INFO:-

    PERINGKAT-PERINGKAT ORANG YANG BERPUASA :

    1.PUASA AWAM
    • PUASA SEKADAR HANYA TIDAK MAKAN DAN MINUM DAN TIDAK MELAKUKAN PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA, TETAPI LALAI DARIPADA MENJAGA PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENGHILANGKAN ATAU MENGURANGKAN PAHALA PUASA SEPERTI MENGUMPAT, MEMANDANG BENDA-BENDA YANG DIHARAMKAN PADA SYARAK DAN LAIN-LAIN LAGI.
    2.PUASA KHUSUS
    • PUASA YANG BUKAN HANYA SEKADAR TIDAK MAKAN DAN MINUM TETAPI SENTIASA MENJAGA DARIPADA MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG MENGHILANGKAN PAHALA PUASA DISAMPING MENGHARAPKAN KEREDHAAN ALLAH.
    3.PUASA KHUSUS AL KHUSUS خصوص الخصوص
    • ORANG YANG BERPUASA BUKAN SEKADAR TIDAK MAKAN DAN MINUM, MALAH MENJAGA PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN PAHALA PUASA, TETAPI BERPUASA DENGAN PENUH KEIKHLASAN SEMATA-MATA KERANA MENUNAIKAN PERINTAH ALLAH SEBAGAI HAMBA DAN HANYA SEMATA-MATA MENGHARAPKAN KEREDHAAN ALLAH.

    Sunday 5 February 2012

    PENGERTIAN DAN HUKUM BERPUASA

    PENGERTIAN
    • PADA BAHASA BERMAKSUD MENAHAN DIRI.

    • PADA SYARAK BERMAKSUD MENAHAN DIRI DARIPADA MAKAN, MINUM DAN DARIPADA SESUATU PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA MULAI DARIPADA TERBIT FAJAR HINGGA TERBENAM MATAHARI.
    HUKUM BERPUASA
    • WAJIB FARDU AIN KE ATAS SETIAP ORANG YANG MUKALAF SAMADA LELAKI ATAU PEREMPUAN.

    • HUKUM WAJIB BERPUASA TELAH DISYARIATKAN PADA TAHUN YANG KEDUA HIJRAH

    OBJEKTIF PEMBELAJARAN

    OBJEKTIF PEMBELAJARAN DALAM BAB
     PUASA INI IALAH :
    • MENGETAHUI AKAN TUJUAN ISLAM MENSYARIATKAN PUASA.
    • MENGETAHUI MAKSUD DAN HUKUM-HUKUM PUASA.
    • DAPAT MENJELASKAN SERTA MENYENARAIKAN JENIS-JENIS PUASA,SYARAT-SYARAT PUASA, RUKUN PUASA, ADAB DAN PERKARA -PERKARA YANG MEMBATALKANNYA.
    • MENGETAHUI AKAN HUKUM-HUKUM, KELEBIHAN DAN FADHILAT ORANG YANG BERPUASA.
    • MENJELASKAN PERKARA-PERKARA SUNAT DAN MAKRUH SEMASA MENJALANI IBADAH PUASA.
    • DAPAT MENGHAYATI RAHSIA DAN HIKMAH BERPUASA.